Gaya permainan Candy Crush Saga

Seorang perempuan sedang bermain Candy Crush Saga pada sebuah iPad.

Permainan ini merupakan variasi bagi permainan tiga padanan seperti Bejeweled. Setiap aras mempunyai satu papan permainan yang diisi dengan gula-gula yang berbeza warnanya, dan mungkin terdapat halangan. Pergerakan asas permainan ini adalah dengan menukar kedudukan dua biji gula-gula bersebelahan sama ada melintang mahupun menegak, bagi menghasilkan beberapa set padanan tiga (atau lebih) biji gula-gula yang sama warna.

Aras

Permainan ini terbahagi kepada beberapa aras, dan setiap aras mempunyai keperluan tersendiri untuk menyelesaikannya. Versi Facebook bagi Candy Crush Saga buat masa ini mempunyai 455 aras, dan satu set aras akan dilancarkan lebih kurang setiap 3 minggu. Versi-versi telefon pintar bagi Candy Crush Saga buat masa ini mempunyai 395 aras.

Candy Crush Saga ada kalanya memerlukan seorang pemain untuk membuka kekunci aras sebelum ia boleh dimainkan. Aras tersebut boleh dibuka dengan meminta pertolongan rakan-rakan Facebook, ataupun dengan membayar kredit Facebook.

Sistem nyawa

Setiap pemain secara lalai diberikan bilangan maksimum lima nyawa. Seseorang pemain memerlukan sekurang-kurangnya satu nyawa bagi memainkan sesuatu aras. Jika pemain gagal melengkapkan sesuatu aras, satu nyawa akan ditolak. Nyawa akan dijana semula setiap 30 minit bagi satu nyawa. Pemain juga boleh memulihkan nyawa dengan meminta pertolongan rakan-rakan Facebook, atau dengan membayar kredit Facebook (atau, bagi iOS dan Android, dengan menetapkan semula jam atau tarikh, walaupun ia boleh menyebabkan paparan jam yang salah).

Gula-gula Khas

Gula-gula Khas akan terhasil apabila empat atau lebih gula-gula yang sama warna dipadankan bersama. Gula-gula Khas mempunyai kesan khas (seperti mengosongkan keseluruhan baris gula-gula) apabila ia digunakan. Contoh Gula-gula Khas termasuklah Gula-gula Berjalur, Gula-gula Berbungkus dan Bom Gula-gula.

Kombinasi Gula-gula Khas

Jika seseorang pemain cuba untuk memindahkan dua biji Gula-gula Khas bersebelahan, ia akan menghasilkan satu kesan khas gabungan. Kesan khas sebegini selalunya jauh lebih berkuasa daripada kesan gula-gula individu.

Halangan

Halangan muncul pada beberapa aras tertentu. Halangan mempunyai pelbagai jenis sifat, dan kesemuanya direka untuk menjadikan sesuatu aras lebih sukar untuk diselesaikan. Contoh halangan termasuklah coklat yang cuba memenuhi keseluruhan papan permainan secara perlahan-lahan, serta puting beliung yang memusnahkan ruang papan permainan secara rawak.

Penggalak

Penggalak merupakan benda yang hanya boleh digunakan sekali sahaja yang boleh digunakan untuk membantu pemain menyelesaikan sesuatu aras. Penggalak selalunya dibeli menggunakan kredit Facebook. Setiap aras dalam Candy Crush Saga boleh diselesaikan tanpa penggunaan penggalak,[5] tetapi tahap kesukaran permainan direka bagi menggalakkan pembelian penggalak.[6] Contoh penggalak termasuklah Tukul Lolipop yang boleh memusnahkan mana-mana jubin permainan, serta Penukar Percuma yang boleh menukarkan mana-mana dua biji gula-gula bersebelahan.

Azimat

Dalam versi Candy Crush Saga terdahulu, pemain boleh membeli barang azimat bagi membantu melengkapkan sesuatu aras. Azimat lebih mahal daripada penggalak, kerana azimat boleh digunakan berulang kali. Setakat 27 Jun 2013, Azimat sudah tidak lagi boleh dibeli.